Pages

Sunday, January 16, 2011

karangan bukit panorama...

Maha Suci Allah yang menciptakan dan mentadbir ruang alam.. Mengisi setiap ruang tanpa ada yang sia-sia. Rugilah bagi kita yang hanya sekadar menghayatinya dengan mata tanpa berfikir dengan akal.

Hari ini telah tertulis, aku salah seorang yang terlibat dalam pendakian bukit panorama di sungai lembing. Terima kasih kepada rakan-rakan dan jurufoto-jurufoto yang mengalu-alukan penglibatan aku. Tiba di kaki bukit, Dr Jamal memberi taklimat ringkas khusus bagi yang pertama kali datang. Katanya, perlu melangkah perlahan-lahan tanpa memaksa fizikal.

Dalam hening pagi, sebelum subuh. Kami semua memulakan pendakian, menyusun langkah, mengira anak tangga bukit panorama. Walau berat kaki melangkah, hati tetap aku kuatkan untuk menyaksikan sendiri apa yang ada di penghujung pendakian.

Dalam langkah yang kami aturkan, kedengaran azan subuh berkumandang dari masjid pekan sungai lembing, sayup-sayup tetapi jelas. Hampir separuh pendakian, diimamkan oleh Dr Jamal, kami semua mengerjakan solat subuh dalam rimba bukit panorama. Selesai saja solat, langkah diteruskan.

Berapa lama jarak pendakian, aku sendiri tidak sedar. Tiba di puncak bukit, keadaan masih lagi gelap. Agak lama menunggu, sedikit demi sedikit ruang beransur jelas. Kicauan burung kedengaran seperti menyanyi menyambut kedatangan kami.. Tefikir sejenak, jika aku seorang yang buta dan pekak... tentunya aku tidak dapat melihat dan dengar. Ya Allah Yang Maha Pemberi nikmat, aku bersyukur dengan nikmat pandang dan dengar yang Kau berikan. Jauhkanlah dan peliharalah dari terus alpa. Ampunkanlah aku.

Langit beransur-ansur terang, awan berkepul-kepul, memayungi kehijauan.. Saujana mata memandang. Kagum dengan karya Maha Pencipta. Yang bisa menciptakan dan menjadikan apa saja, juga yang menjadikan karya Agung untuk kita baca dan hayati. yang bisa mengubati apa saja penyakit, yang bisa meredakan api yang marah, yang bisa menyelesaikan sebarang keraguan - yakni Al-Quran. Ya Allah, ampunkanlah aku yang terlalu jahil ini. Ampunkanlah aku kerana kerap kali alpa.

Agak lama juga berada di puncak panorama. Dan kemudian, kami turun semula ingin pulang. membawa pulang kenangan seribu erti. Dan selepas ini aku akan kembali, bersama D.

*anda nak gambar anda lain dari yang lain? asah lens filter camera anda dengan kertas pasir.. confirm nampak lain dari yang lain.

No comments:

Post a Comment