Pages

Tuesday, February 25, 2014

tiada tajuk 5

dosa-dosa
yang kusemai dulu..
biarlah ia gugur mati
dimusim kemarau ini..

Thursday, June 06, 2013

tiada tajuk 4

wahai pemuja bunga
putih sucinya adalah maruah fitrahnya
jangan kau songsangkan
dengan akal kau yang cetek

wahai peniup serunai
mersik nada itu untuk kau dengar
untuk kau rasa tarinya
bukannya untuk kau cari rupanya

wahai yang berseloka
luncai sudahpun terjun
biarkan.. biarkan dia
jangan kau turut terjun
dan lemas dalam kata-kata...



Tuesday, May 07, 2013

tiada tajuk 3

semacam ahli silap mata
yang memukau di atas pentas
membuat ilusi dan muslihat..
keluar arnab putih dari topi hitamnya
keluar wanita seksi dari kotak emasnya
buat kita kagum tertipu


tiada tajuk 2

siapapun aku..
siapapun kamu..
siapapun mereka..
bicaralah dengan rendah hati


tiada tajuk

di mana tiang yang aku pegang
di mana tiang yang kamu pegang
di mana tiang yang mereka tahan
yang kita rasakan ia adalah tongkat
yang menahan langit..?

jika tiada.. kita harus ingat
urusan kita di dunia ini
hanyalah urusan yang sementara


Tuesday, December 06, 2011

pencuri

pencuri itu..
yang mencuri dalam diam-diam
yang tidak dihududkan di sini..
kelak akan menangis


monolog sayonara

jika keberadaan aku
buat kalian resah dan gelisah
juga membawa beban..
aku pasti akan pergi..

jika tingkah aku
membuat kalian rasa terpalit dosa
biarlah aku yang mencucinya
dengan langkah 'sayonara'

jika jenaka bodohku
buat kalian terpaksa senyum
lakon ketawa dengan pura-pura
aku akan tutup tirai jenaka itu

aku doakan
pemergian aku
memudahkan kalian
menjadi ahli syurga..



Monday, October 31, 2011

monolog 3

akal yang waras..
serulah nama tuhanmu..
maka Dia akan memelukmu dengan rahmatNya


monolog - ilmu

sejauh mana pun tempat yang kita nak susur.. setinggi manapun puncak yang kita nak pijak, takkan ada ertinya jika kita bagai berfikir hidup ini menongkat langit. mencari ilmu itu hal yang wajib tetapi yang wajib itu bukan bertujuan untuk mengukur martabat di dunia. ilmu yang wajib dicari dan dituntut itu adalah ilmu yang boleh memberi kita kefahaman untuk membezakan akan hal yang hak (benar) dan yang batil.. ilmu untuk kita percaya yang selama ini kita berpegang pada jalan yang benar.

tidak ada salahnya untuk kamu mempelajari sesuatu hal dunia itu untuk disampaikan kepada orang-orang yang terdekat dengan kamu.. namun, keutamaan ilmu adalah untuk kesempurnaan mati kita kelak dan juga untuk dijadikan benteng pemisah antara baik dan buruk.

pada aku, mecari ilmu adalah perantara untuk aku tunduk dan patuh pada pemilik kerajaan ilmu itu. bukan untuk menjamin hidup yang sementara tetapi pada penghidupan yang abadi. apa saja bidang yang kamu kagumi akan menjadi busuk jika kamu tidak mengambil ia sebagai pendekatan mencari hakikat ilmu itu.

jadilah seperti penyelam, semakin jauh kamu menyelam.. kamu akan menemui akan hal yang benar.. bukannya untuk kamu dinobatkan sebagai penyelam paling dalam.


monolog 2

kunci pintu itu..
bukanlah dengan berpura tunduk
bukanlah dengan berlakon baik
bukanlah dengan sekadar kata..


monolog 1

panggillah aku..
jika tatkala ini ia lebih baik buatku
redhalah hidupku
jika esoknya ada sesuatu buatku


Monday, July 18, 2011

bicara

bicara..
adalakalanya dari arah selatan
adakalanya dari arah utara
dan adakalanya dari timur atau barat.

apapun bicara itu..
ia tidak selalunya sama
bunyinya seperti membina
tanpa kita sedar..
kita telah disogok..
bicara itu telah mengalihkan kita
dari fahaman kita sendiri

bicara kata begitu
kita pun iyakan begitu
bicara kata begini
kita pun iyakan begini..

akhirnya kita seperti lebai yang malang
ke hulu dan ke hilir
tidak satu pun menjadi milik..

perjalanan 3 ratus ribu langkah..

hari ini..di pucuk mana pun kita berada, janganlah kita terlalu angkuh dan sombong ketika memerhati di bawah kita. boleh jadi, berada di bawah itu lebih baik kerana ia tempat teduhan.

jawatan apa pun yang kamu sandangkan, corak pimpinan apa saja yang kau junjung.. hendaklah kau telus dalam memperjuangkannya. bukan dengan cara menindas dan atau bukan dengan mencarut-carut kerana melatah.

sepanduk apa yang kau pikul.. baju apa yang kau pakai, bukan itu yang perlu kita bicarakan. aku tidak terpegun pun melihat kau memekik-mekik memanggil dan mencari kroni.. yang aku mahukan adalah ketenangan dan ketenteraman di dunia dan akhirat..

nyah kau jauh-jauh jika kau bercakap hanya untuk kepentingan diri..

Sunday, July 10, 2011

untukmu guru

guru yang baik bukanlah guru yang sarat dengan latihan.. tapi guru yang mampu menakluk hati pelajar supaya mencintai ilmu.

Monday, June 06, 2011

hitam ibu warna

Yang berkata-kata.. minta perlindungan kepada Pemilik Mutlak kerajaan ilmu supaya kita tidak tersesat dalam berkata-kata.

Mudah saja untuk kita berkata-kata dan mudah saja untuk kita membina falsafah. Jangan terlupa, kata-kata dan falsafah adakalanya boleh menyimpang kita dari jalan yang lurus; Kononnya, hitam itu ibu warna. Alasan kamu mudah, apabila kita campurkan semua warna yang ada.. ia akan menjadi hitam. Ceteknya kita kan..

Persoalannya, bolehkah warna-warna yang kamu campurkan menjadi hitam itu diurai semula menjadi warna-warna yang asal? Tentunya tidak kan? Jadi, mana mungkin alasan yang terlalu mudah hendak diterima pakai..

Jadi, mengapa tidak kamu menggunakan saja warna hitam untuk dipalitkan di dada kanvas sebagai manifestasi kepelbagaian warna? Kan ke indah

---

Bagaimana dengan cahaya putih? Tahukan kamu yang cahaya putih itu boleh serakkan 7 warna pelangi? dan tahu tak kamu dengan 7 warna pelangi itu kamu boleh adunkan untuk dapatkan sebarang warna? serta tahu tak kamu, dari 7 warna yang terserak tadi.. ia boleh kembali putih? Kata mudah, 7 warna ni macam kod gitar... apa saja rentak atau melodi yang kamu mainkan, kamu mesti tahu kod yang sama. Jazz, celtic, rock, balada, keroncong atau sebagainya.. ia tetap dari knot yang sama. Atau ia macam matematik, sebanyak mana kamu menghitung ia tetap bernombor 0-9.. tiada nombor lain.

Ia adalah ASAS

---

Lihatlah penciptaanNya sebelum kamu rakus berkata-kata. Sudah Dia jadikan sesuatu itu untuk kita melihat dan merasa.. Bukan dengan mengolah mengikut padangan kita yang cetek.. Telah Dia jadikan hukum dan aturan alam ini untuk kita.. Jadi, lihat dan hayatilah selagi kita berada di sini.

---

pengucapan ringkas kepada yang berkata celaka

aku hairan betul la dengan sesetengah mentaliti masyarakat yang mengaku dia adalah seorang islam yang beriman. kau memang layak bergelar pelakon pentas..

terang dan jelas depan mata aku.. kau herdik, maki hamun dan mecaci cela sekawan semut hanya kerana mereke-mereka itu menghurung gula. sedar tak kau akan perlakuan kau itu? herdik, maki hamun dan mencaci cela pada makhlukNYA. fitrah semut mencari manis, tak mungkin semut mencari garam untuk santapan. takkan papa kedana pun kau walau sang semut mengambil sekilo gula dari ehsan kau."celaka punya semut!!" herdik kau.. tanpa kau sedar, dari apa yang kau katakan membuatkan muka kau terpalit dengan celaka yang berganda-ganda.

tidak ALLAH jadikan sesuatu itu dengan sia-sia.. paling tidak , ia dijadikan untuk menguji iman seseorang. kalau kau di kalangan orang-orang yang beriman dan berfikir waras, kau akan beruntungkan sabut. kalau kau di kalangan orang-orang yang bodoh dan tidak waras, kau akan beruntungkan batu yang lemas di dasar sungai yang keruh.. sekeruh hati kau! aku harap kau tak sesat..

Monday, May 16, 2011

cerita selamat hari cikguru


Hari ni mungkin hari yang paling bermakna buat guru-guru. Apapun maknanya, tak akan ada seorang pun guru yang akan disisihkan oleh muridnya. Sama ada anda seorang yang amanah atau seorang yang tidak amanah menjadi pendidik, anda tetap akan mendapat paling tidak sekeping kad ucapan terima kasih atau sekuntum bunga ros merah atau seketul coklat atau boleh jadi beberapa rangkap puisi atau apa sahaja persembahan. 

Hari istimewa ini, bukanlah hari untuk guru-guru, cikgu-cikgu, pendidik, teacher atau sir mengaut keuntungan dari semua muridnya. Hari ini adalah hari yang khas untuk anda semua yang bergelar guru bermuhasabah menilai tentang diri, adakah anda seorang yang layak menjadi benar-benar seorang pendidik atau sekadar orang yang menjadi perantara buku dengan murid. Hari ini adalah hari untuk anda memandang setiap wajah anak-anak didik anda dan memikirkan cara untuk mereka memegang erat akan ilmu yang disampaikan. Hari ini, adalah hari untuk anda menyemat cita-cita yang lebih jelas di dalam dada anak-anak didik anda.

Ada dua cerita menarik tentang cikgu menurut pengalaman aku: Yang pertama. ketika aku berjumpa dengan seorang guru ni, aku datang sekolah nak offer bengkel seni untuk anak-anak didik dia. Dia jawab "awak cuba tanya sekolah lain, budak-budak sekolah ni bukannya minat sangat nak belajar. Cuba awak dengar, dalam kelas pun bising. Cikgu yang sedia ada pun diaorang taknak dengar.." aku kaku terdiam..

Yang kedua, di sekolah yang berbeza "..terima kasih sebab datang untuk bantu saya ajar murid-murid saya. diaorang ni ramai yang berbakat, kalau nak kembangkan bakat diaorang, kena la ada ramai pendidik.." dan aku pun terharu.

Dari kedua-dua cerita diatas, jika lampu yang digunakan untuk menyuluh kegelapan pun seperti bateri lemah, boleh ke anak-anak didik ini sampai ke tempat yang nak dituju dalam keadaan teraba-raba? semakin banyak lampu yang menerangi mereka, semakin mereka akan mendekati ilmu. percayalah.


Guru yang baik bukanlah guru yang sarat dengan latihan tetapi guru yang mampu menakluk hati pelajar supaya mencintai ilmu. Didikan anda bukanlah rutin harian seperti anda bangun pagi dan menggosok gigi tetapi adalah pengulangan untuk anda menjadi seorang yang lebih beriman.


.

Thursday, April 28, 2011

texture

aku berdosa, kau mungkin tidak

aku berdosa,
aku berdosa,
aku berdosa..
aku berdosa..
dan aku terus berdosa..

dah pun berganda hitungnya..
dan aku terus menghimpun dosa..
dan juga celakalah aku
membawa bangkai kepada
dunia yang tidak bersalah
walau sedikitpun

Yang Maha Besar..
Yang Maha Pemberi Pengampunan..
ampunkanlah aku
berikan kesempatan
untuk aku mencuci bangkai diri

kita berdosa

dosa aku terlalu banyak..
dosa kau juga terlalu banyak..

kita menghimpun dosa
mahu menjadi ahli neraka

Ya Allah..
kembalikanlah aku ke pangkal jalan
kembalikan mereka ke pangkal jalan
terimalah taubat hambamu ini..
terimalah taubat mereka..

Ya Allah
redhalah hidupku dan matiku
redhalah hidup dan mati mereka..
selamatkan dan sejahterakanlah kami.

kita terlalu mencintai dunia

setiap hari, kita lebih banyak bicarakan tentang warna, tentang berus, tentang ism, tentang teknik, tentang media, tentang pelukis idola atau reference kita, tentang tempat pameran kita yang kononnya dah dirancang untuk 3-4 tahun akan datang.. juga tentang artwork orang ni bagus dan tak bagusnya. selepas itu, kita tunjuk pandai nak ajar orang yang lebih pandai dari kita.. padahal kita sebenarnya terlalu naif atau cetek ilmu.

setiap hari kita banyak menulis blog.. berfacebook, menglike2 kawan kita, menaikkan status di wall tentang apa yang kita buat setiap saat. outing, mengambil gambar, mengedit gambar, kutuk-kutuk dave hill, koyagu dengan keinginan nak jadi photographer nat geo, mengupload gambar supaya orang lain memberi pandangan (padahal nak pujian).

setiap hari.. kita amat-amat mencintai dunia lebih dari kadarnya. sebanyak mana kita sentiasa jujur bertasbih dan bertahmid? sebanyak mana kita mengerti makna 'tunduk dan patuh'? sebanyak mana kita benar mengejar ilmu untuk bekal akan datang? sebanyak mana kita mengerti, apa kita pegang hari ini akan kita tinggalkan ia di esok hari? sebanyak mana kita menyampaikan hal yang benar?

setiap 5 waktu kita melafazkan : Allah Maha Besar sebasar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan Maha Suci Allah siang dan malam. Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah diri kepada Allah dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya, solatku, ibadatku, hidupku dan matiku kuserahkan hanyalah untuk Allah tuhan seru sekelian alam. Sekali-kali tidak aku menyekutukanNya. Dan demikian aku ditugaskan. Dan aku adalah dari golongan orang-orang muslim.

Dan diterjemahkan, Allah berfirman: Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam - Al An'am (162)


Ya Allah, ampunkan kejahilan hambamu ini, ampunkan dosa hambamu ini.. kembalikanlah aku ke jalan yang benar.

Tuesday, April 05, 2011

keseimbangan dalam ruang

terlalu kecil pemikiran kita,sentiasa cuba mencari keseimbangan dalam menghasilkan karya bagi mengelakkan situasi tension space tanpa kita memikirkan atau tidak pernah kita meghayati keseimbangan yang Allah SWT jadikan dalam aturan hidup kita.

aturan yang pertama.. adalah tikus mondok. spesis yang selalunya kita kaitkan dengan hal yang kotor jijik.. tanpa memikirkan mengapa spesis ini semakin membiak dan dapat dilihat hampir di merata tempat.. dan selalunya, kita seperti menyatakan spesis ini tidak wajar ada dan hidup..

nyatanya, tiap-tiap kejadian Allah itu tidak akan sia-sia. apabila sesuatu ruang (space) itu menjadi tension (penuh kotor) oleh tangan-tangan manusia yang tidak berakal waras.. maka, Allah mendatangkan spesis ini sebagai sebahagian unit pencuci.. untuk mengimbangi (balance) semula sesuatu ruang itu..

bodohnya kita, adalah kerana kita cuba memupuskan spesis yang sedikit sebanyak membantu kita.. antara lain, ia sebagai penyataan bahawa kita akan tahu tempat ini adalah kotor.. seperti kedai contohnya, apabila kita melihat terlalu banyak spesis itu, kita perlu membuat tafsiran bahawa kedai itu adalah kotor..

sekiranya kita tidak mahukan spesis yang kita anggapkan jijik kotor itu membiak dengan banyaknya. perkara yang wajar kita lakukan adalah membersihkan ruang itu dan bukannya dengan cubaan memupuskan spesis ini..

aturan yang kedua.. begitu jugak dengan si gagak hitam pemakan bangkai dan sisa.. apabila tikus2 tidak lagi dapat mengawal kerosakan dan kekotoran yang dilakukan oleh tangan-tangan kita sendiri. Maka Allah akan membuat aturan si gagak hitam yang boleh terbang membantu si tikus-tikus kurap ini.

bicara matahari dan bulan
















kita kagum dengan cahaya bulan yg dilingkari biasan. dan dari dulu sampai sekarang pun kita akan teruja dengan cahaya bulan yang terang benderang.. sehinggalah kita memuja dan memuji bulan kerana cantiknya ia ketika malam.

diwaktu siang, kita mengeluh, panasnya hari.. panasnya bahang matahari. tanpa kita sedar atau mungkin kita terlupa, cantiknya bulan diwaktu malam tu adalah pembalikan cahaya matahari yang kita keluhkan. ibarat kata .. lembu punya susu, sapi dapat nama. kenapa kita tidak memuja dan memuji matahari yang melampiaskan cahayanya pada bulan? tanpa matahari, tiadalah warna yang terzahir lagi. hitam dan pekat gelap.

itu bicara matahari dan bulan.. bagaimana pula kita (sesuatu yang dicipta) dengan Pecipta Yang Mutlak itu? kita terlalu banyak memuja dan memuji seseorang lebih dari haknya.. tanpa kita sedar, martabat orang yang dipuja dan dipuji itu hanya dipinjamkan seperti kita juga. kenapa tidak secara langsung kita memuja dan memuji Pemiliknya?

semua pembaca, penulis, pelukis, jurugambar, pereka grafik, pelajar, guru atau pensyarah dan semua manusia.. segala ilmu, kepandaian, kepakaran, intelektual atau bijaksana, kemahiran dan semua yang ada pada kita... bukan milik kita yang mutlak.. segalanya hanya dipinjamkan sementara untuk kita menghayati, memahami dan mempercayai kebenaran PEMILIK YANG AGUNG.

imaginasi seorang peminjam kamera

bayangkan.. setiap 1 jam, kita mengambil gambar perlakuan kita sendiri sekurang-kurangnya 10 keping untuk kita pamerkan dalam satu pameran fotografi solo kita yang kononnya agak lebih berkonsep berbanding jurufoto-jurufoto yang lain. dan selama setahun, ia berjumlah sekitar 86400 keping (memenuhi ruang pameran galeri rajawali). dan pastinya, kita akan memilih atau melakonkan perlakuan yang terbaik supaya kesemua gambar yang dipamerkan adalah baik dan kita akan terus disangka baik oleh mata-mata melihat nanti. sepertimana kita cuba merakam moment yang cantik dan hampir dengan sempurna sebelum ini, seperti itulah juga kita cuba mendapatkan yang terbaik dalam setiap perlakuan kita. cuma 10 keping utk setiap jam..

bayangkan pula, malaikat yang mencatatkan baik dan buruk kita. malaikat ini, kita cuba anggap seperti jurufoto peribadi kita yang sentiasa mengekori ke mana saja kita berada. bukan saja mengambil gambar kita 10 keping setiap 1 jam.. bahkan setiap detik dia menjadi peneman dan perakam yang paling telus tanpa memikirkan shutter count seperti kita.. akan tiba masanya, perlakuan kita akan dipamerkan.. akan lebih lagi dari apa yang kita bayangkan. ketika itu, kita akan merasakan kita berada di kalangan orang-orang yang rugi kerana kita telah mensia-siakan sebahagian besar hidup kita.

YA ALLAH, AMPUNKANLAH HAMBAMU INI

Allah lebih Mengetahui

Ketahuilah orang-orang yang selama ini terhijab dengan perkara yang telah ditakdirkan olehNya... sesungguhnya kau tidak menyedari apa yang telah kau katakan kerana hati kau terlalu buta untuk melihat hakikat yang tersembunyi. Bisikan-bisikan iblis telah merasuk keseluruh pembuluh darah kau kerana kau terlalu lupa akan janji-janjiNya.

Kau menyalahkan orang lain menzalimi diri kau, sedangkan kaulah yang menzalimi diri kau sendiri. Kau telah menelan racun-racun dusta dan kau juga telah memaksa orang lain menelan racun-racun dusta itu juga.

Sebanyak mana kau berkata-kata (fitnah), sebanyak itulah kau akan dihitung kelak. Sebanyak mana kau cuba menyembunyikan kebenaran... sebanyak itulah kebodohan kau akan kelihatan kelak.

Manusia yang angkuh, riak dan takbur. Kau menceritakan perihal orang lain untuk menutup kelemahan dan dosa-dosa yang kau sendiri pernah lakukan. Apakah kau masih tidak sedar, sesungguhnya Allah sedang memberi peringatan kepada kau yang sedang songsang hati?

Kau mengatakan yang kau cukup redha dengan ketentuan Allah terhadap diri kau... tapi hakikatnya, kau tidak memahami akan pengertian redha itu. Allah berfirman : "Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kamu ke jalan redha lagi diredhai." Jika hati kau sedang busuk dengan dendam dan amarah yang membabi buta.. maka kau bukanlah seorang yang mempunyai hati yang tenang.. Mustahil kau memiliki makna redha dan diredhai itu, selagi hati kau dipenuhi sampah-sampah.

Kau terlalu bongkak kerana kau merasakan yang kau akan selalu mendapat perkara yang lebih baik atas apa yang telah terjadi. Tanpa kau berfikir kenapa perkara itu terjadi ke atas diri kau sendiri dan tanpa kau sedar orang lain yang wajar mendapat perkara baik itu.

Hitung saja hari-hari, kebenaran hanya pada yang hak... dan pada yang salah, satu persatu hukumanNya akan mendatangi kau. Percayalah, doa orang-orang yang dizalimi itu akan dimakbulkan oleh Allah. Hanya tunggu dan lihat jika kau masih menzalimi kepada orang yang sedang tunduk dan sujud kepada DIA.

Maha Suci Allah... Dia yang menjadikan sesuatu itu tanpa dengan sia-sia.